Saturday, April 20, 2013


# Syukur dan Bangga

Beberapa hari lepas, saya ada menonton satu video dari seorang blogger wanita tanah air Maria Elena.  Beliau telah membincanngkan topik penggunaan syukur dan bangga menjadi seorang Islam.

 Pada pendapat saya topik ini sangat menarik kerana telah menyedarkan saya bahawa kita serharusnya bersyukur menjadi seorang yang beragama Islam dan bukannya bannga.  Hal ini demikian kerana menurutnya , beliau ada membaca buku yang menyatakan jika kita bangga akan menjadi ego dan daripada ego akan bertukar kepada riya.  Perkara ini akan menyebabkan semua pahala yang kita kumpulkan akan hilang.

Sesungguhnya Allah S.W.T tidak suka kepada orang yang riya.  Oleh itu, sebagai seorang Muslim kita perlulah manyatakan kesyukuran dalam segala yang kita dapat dan miliki seperti keamanan dan keislaman kita agar mendapat keberkatan daripada- Nya.

Jom kita tengok videonya.


Friday, April 19, 2013


# Berat Sama Dipikul Ringan Sama Di Jinjing

Sabtu lepas adalah hari yang paling bersejarah buat diri mak cik ku Suhana kerana telah menjadi seorang isteri kepapda Nazmi.  Semoga perkahwinan mereka kekal ke akhir hayat.  In Syaa Allah.

Berbalik kepada tajuk diatas, saya ingin mengambarkan bahawa jika kita melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan bersama-sama, pekerjaan tersebut akan dapat dilaksanakan dengan lancar.  Masih relevankah pepatah ini dalam kehidupan masyarakat sekarang?

Semasa perkahwinan mak cik saya berlangsung rumah nenek sangat meriah dengan kedatangan saudara mara dan jiran tetangga yang banyak menolong bagi melancarkan perjalanan majlis.  Saya dan ahli keluarga amat berterima kasih dengan mereka kerana telah banyak membantu.  Tanpa mereka, mungkin majlis ini tidak berjalan dengan lancar.

Kerjasama dapat saya lihat apabila orang kampung datang ke rumah nenek untuk menyiapkan hidangan dan membantu tugas-tugas di dapur.  Mereka banyak membantu dalam menyediakan bahan-bahan masakan dan memasak untuk makanan pengantin.

Bebrbeza pula di luar rumah.  Kelihatan kaum lelaki membantu dalam menghidangkan makanan.  Mereka akan mengangkat lauk-lauk yang telah siap dimasak dan diletakkan di balai makanan.  Suasana ini berterusan sehingga majlis tamat.

Suasana dalam majlis perkahwinan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi sikap bantu-membantu antara masyarakat dalam kehidupan.  Selain itu, segala kerja yang susah akan menjadi senang apabila kita saling bantu membantu antara satu sama dengan lain. 

Oleh itu, kata pepatah  berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing masih relevan lagi dalam kehidupan masyarakat pada hari ini.

Thursday, April 18, 2013


# Budi Bahasa Budaya Kita
Beberapa hari lepas saya agak terlewat untuk ke kelas.  Dengan pantas saya berjalan laju ke foyer KAB untuk menaiki bas.  Tidak boleh berlari kerana memakai baju kurung.
Selepas sampai di situ, hatiku kegembiraan kerana bas masih ada, tetapi hampir menutup pintu.  Saya terus berjalan ke arah bas tersebut dan sampai sahaja pintu bas terus tertutup.  Saya meminta pemandu bas itu untuk membuka pintu kerana saya seorang sahaja yang tinggal.
Pemandu bas tersebut membuka pintu bas dan saya dihadiahkan dengan perkataan:

“Bila nak jalan ni, asyik bukak tutup, bukak tutup sahaja pintu”. Kata pemandu bas tersebut.
Saya hanya tersenyum kerana tahu kesalahanku.  Pemandu bas tersebut terus meluahkan perasaannya (marah) kerana terdapat segelintir pelajar yang menahan bas tersebut untuk naik.
“Kau tahan..kau tahan…aku langgar nanti”.

Terkejut saya mendengar perkataan yang keluar daripada mulut pemandu bas tersebut.


Pada pendapat saya perkara ini tidak seharusnya terjadi.  Hal ini demikian kerana bahasa menunjukkan bangsa.  Sekiranya,kita tidak bersetuju atau marah dengan sesuatu perkara kita tidak seharusnya mengeluarkan perkataan yang saya boleh anggap kasar.  Emak saya selalu berkata “percakapan itu satu doa”, maka kita seharusnya menggunakan kata-kata yang elok untuk berkomunikasi.
Sekiranya bahasa yang kita gunakan tidak elok, orang lain terutamanya opelajar-pelajar dari negara luar akan menganggap negara kita mempunyai warga yang tidak berbudi bahasa, sedangkan negara kita cukup dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbudi bahasa.

Wednesday, April 17, 2013


# Bahasa Rojak
Bahasa rojak merupakan suatu jenis percakapan yang mencampurkan pelbagai bahasa dalam pertuturan atau dikenali sebagai percampuran kod.


Pada hari ini kita dapat lihat penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan seharian kita.  Tidak kiralah di sekolah, pejabat, universiti bahkan di rumah juga kita sering menggunakan bahasa rojak ini.
Contohnya:

Bestnya dapat makan percuma.
Kenapa kau moody aje?
Ok, sekarang keluarkan kerja sekolah yang saya telah berikan semalam.

Terdapat juga bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Cina. 
Contohnya:

Nak makan sini atau mahu tapau ( bungkus)?
Apasal awak buat kerja cincai ( tidak sempurna) seperti ini maa?

Secara sedar atau tidak kita sering menggunakan atau mendengar bahasa ini dalam kehidupan seharian kita.
Perlu kita ingat sekiranya bahasa roja ini terus berleluasa penggunaanya akan menyebabkan bahasa Melayu asli pupus.  Hal ini demikian kerana percampuran kod ini akan menjadikan golongan akan datang tidak dapat atau mengenali bahasa Melayu yang asli.  Oleh itu, marilah kita sama-sama memartabatkan bahasa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tidak mencampurkannya dengan bahasa yang lain.  Selain itu, kita juga mungkin akan dipandang serong oleh orang lain kerana tidak mengagungkan bahasa ibunda kita sendiri.


# Hakikat Bahasa

Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan.  Perkara ini telah termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.  Oleh itu, segala urusan rasmi perlulah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.

Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebgai lingua franca.  Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eoropah.  Pada zaman tersebut telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang utama. Oleh itu, kita seharusnya berbangga dengan bahasa ibunda kita ini dan seterusnya memartabatkannya.

Tapi sejak akhir-akhir ini bahasa Melayu menjadi semakin diketepikan.  Hal ini demikian kerana kebanyakan anak muda sekarang banyak menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian mereka.  Perkara ini sedikit sebanyak akan menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir.
Lebih menyedihkan bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa kedua negara.  Perkara ini dapat kita lihat pada hari ini remaja-remaja terutamanya di bandar-bandar besar kurang menggunakan bahasa Melayu kerana  mereka lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. 
Terdapat juga rakyat Malaysia yang memang tidak fasih menggunakan bahasa Melayu.  Perkara ini terbukti apabila salah seorang rakan sekelas yang berkongsi pengalamannya berjumpa dengan seorang warga emas berbangsa Cina yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

Bagaimana kita ingin mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu?

a) Kita perlu menyanyangi dan menyanjung bahasa Melayu.
b) Menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan. (seperti yang dilakukan oleh orang Jepun yang menggunakan bahasa ibunda mereka)
c) Meneruskan tradisi minggu Bahasa pada peringkat sekolah, universiti dan kebangsaan.

Tuesday, April 16, 2013


# Mutiara Kata
Mutiara kata… apakah yang dimaksudkan dengan mutiara kata?
Pada pendapat saya mutiara kata merupakan kata-kata yang dicipta bagi menjadikan seseorang itu lebih bersemangat jika menghadapi sesuatu masalah dan juga memberi inspirasi kepada kita untuk terus berusaha.

Mengapa kita memerlukan kata-kata azimat ini?

Mutiara kata dapat menjadikan kita lebih mengenali diri sendiri serta mewujudkan nilai positif dalam diri kita.  Selain itu, kata-kata yang dibentuk berunsur nasihat dan kadangkala kata-kata yang digunakan turut menyelitkan unsur-unsur Islamik yang dapat mendekatkan diri kita kepada yang Esa.  Contohnya:

“Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan. Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.”

“Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”

Secara keseluruhannya, kita memerlukan pendorong untuk membimbing kita dalam kehidupan yang semakin mencabar.  Siapa yang dapat mendorong kita?   Kita memerlukan rakan atau seseorang yang kita boleh percayai untuk berkongsi sesuatu atau mendapatkan pendapat, kadangkala kita hanya memerlukan kata-kata yang boleh membentuk dan menenangkan kita.  Oleh itu, mutiara kata merupakan satu wadah dan pemudah cara kepada kita untuk terus bersemangat.
                         

# Jom Belajar Dialek Negeri Sembilan.

Malaysia mempunyai pelbagai jenis dialek.  Setiap negeri mempunyai bahasanya yang tersendiri dan kadangkala bahasa yang digunakan hanya difahami oleh golongan mereka sendiri.

Saya berasal dari Negeri Sembilan dan mempunyai dialek yang tersendiri.  Secara peribadi saya dan keluarga tidak menggunakan dialek ini di rumah.  Kami berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang biasa dan boleh difahami.  Perkara ini menyebabkan kadangkala kami sekeluarga kurang memahami perkataan yang disebut oleh datuk dan nenek.

Pernah suatu saya dan keluarga pergi beraya ke rumah nenek saudara saya.  Bahasa Negeri Sembilan yang dia gunakan amat pekat dan lenggok percakapannya yang bersahaja dan laju dan kedengaran seperti kasar.

“Bangang cantik baju ko daro” kata nenek saudara kepada adik perempuanku.
Maksudnya
Cantik baju yang engkau pakai. (lebih kurang macam itulah maksudnya)

Bagi orang luar dari Negeri Sembilan akan merasakan bahasa yang digunakan agak kasar, tetapi sebenarnya perkara ini menunjukkan pertalian yang rapat antara keluarga.  Kadangkala mereka bercakap dengan kuat seolah-olah orang yang mereka ingin cakap berada pada jarak yang jauh.

Sebenarnya bukan semua orang Negeri Sembilan yang bercakap seperti ini, hanya sebahagian sahaja.  Perkongsian ini berdasarkan pengalaman saya bersama keluarga.
Baiklah mari kita belajar sedikit bahasa Negeri Sembilan.