Saturday, April 20, 2013


# Syukur dan Bangga

Beberapa hari lepas, saya ada menonton satu video dari seorang blogger wanita tanah air Maria Elena.  Beliau telah membincanngkan topik penggunaan syukur dan bangga menjadi seorang Islam.

 Pada pendapat saya topik ini sangat menarik kerana telah menyedarkan saya bahawa kita serharusnya bersyukur menjadi seorang yang beragama Islam dan bukannya bannga.  Hal ini demikian kerana menurutnya , beliau ada membaca buku yang menyatakan jika kita bangga akan menjadi ego dan daripada ego akan bertukar kepada riya.  Perkara ini akan menyebabkan semua pahala yang kita kumpulkan akan hilang.

Sesungguhnya Allah S.W.T tidak suka kepada orang yang riya.  Oleh itu, sebagai seorang Muslim kita perlulah manyatakan kesyukuran dalam segala yang kita dapat dan miliki seperti keamanan dan keislaman kita agar mendapat keberkatan daripada- Nya.

Jom kita tengok videonya.


Friday, April 19, 2013


# Berat Sama Dipikul Ringan Sama Di Jinjing

Sabtu lepas adalah hari yang paling bersejarah buat diri mak cik ku Suhana kerana telah menjadi seorang isteri kepapda Nazmi.  Semoga perkahwinan mereka kekal ke akhir hayat.  In Syaa Allah.

Berbalik kepada tajuk diatas, saya ingin mengambarkan bahawa jika kita melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan bersama-sama, pekerjaan tersebut akan dapat dilaksanakan dengan lancar.  Masih relevankah pepatah ini dalam kehidupan masyarakat sekarang?

Semasa perkahwinan mak cik saya berlangsung rumah nenek sangat meriah dengan kedatangan saudara mara dan jiran tetangga yang banyak menolong bagi melancarkan perjalanan majlis.  Saya dan ahli keluarga amat berterima kasih dengan mereka kerana telah banyak membantu.  Tanpa mereka, mungkin majlis ini tidak berjalan dengan lancar.

Kerjasama dapat saya lihat apabila orang kampung datang ke rumah nenek untuk menyiapkan hidangan dan membantu tugas-tugas di dapur.  Mereka banyak membantu dalam menyediakan bahan-bahan masakan dan memasak untuk makanan pengantin.

Bebrbeza pula di luar rumah.  Kelihatan kaum lelaki membantu dalam menghidangkan makanan.  Mereka akan mengangkat lauk-lauk yang telah siap dimasak dan diletakkan di balai makanan.  Suasana ini berterusan sehingga majlis tamat.

Suasana dalam majlis perkahwinan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi sikap bantu-membantu antara masyarakat dalam kehidupan.  Selain itu, segala kerja yang susah akan menjadi senang apabila kita saling bantu membantu antara satu sama dengan lain. 

Oleh itu, kata pepatah  berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing masih relevan lagi dalam kehidupan masyarakat pada hari ini.

Thursday, April 18, 2013


# Budi Bahasa Budaya Kita
Beberapa hari lepas saya agak terlewat untuk ke kelas.  Dengan pantas saya berjalan laju ke foyer KAB untuk menaiki bas.  Tidak boleh berlari kerana memakai baju kurung.
Selepas sampai di situ, hatiku kegembiraan kerana bas masih ada, tetapi hampir menutup pintu.  Saya terus berjalan ke arah bas tersebut dan sampai sahaja pintu bas terus tertutup.  Saya meminta pemandu bas itu untuk membuka pintu kerana saya seorang sahaja yang tinggal.
Pemandu bas tersebut membuka pintu bas dan saya dihadiahkan dengan perkataan:

“Bila nak jalan ni, asyik bukak tutup, bukak tutup sahaja pintu”. Kata pemandu bas tersebut.
Saya hanya tersenyum kerana tahu kesalahanku.  Pemandu bas tersebut terus meluahkan perasaannya (marah) kerana terdapat segelintir pelajar yang menahan bas tersebut untuk naik.
“Kau tahan..kau tahan…aku langgar nanti”.

Terkejut saya mendengar perkataan yang keluar daripada mulut pemandu bas tersebut.


Pada pendapat saya perkara ini tidak seharusnya terjadi.  Hal ini demikian kerana bahasa menunjukkan bangsa.  Sekiranya,kita tidak bersetuju atau marah dengan sesuatu perkara kita tidak seharusnya mengeluarkan perkataan yang saya boleh anggap kasar.  Emak saya selalu berkata “percakapan itu satu doa”, maka kita seharusnya menggunakan kata-kata yang elok untuk berkomunikasi.
Sekiranya bahasa yang kita gunakan tidak elok, orang lain terutamanya opelajar-pelajar dari negara luar akan menganggap negara kita mempunyai warga yang tidak berbudi bahasa, sedangkan negara kita cukup dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbudi bahasa.

Wednesday, April 17, 2013


# Bahasa Rojak
Bahasa rojak merupakan suatu jenis percakapan yang mencampurkan pelbagai bahasa dalam pertuturan atau dikenali sebagai percampuran kod.


Pada hari ini kita dapat lihat penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan seharian kita.  Tidak kiralah di sekolah, pejabat, universiti bahkan di rumah juga kita sering menggunakan bahasa rojak ini.
Contohnya:

Bestnya dapat makan percuma.
Kenapa kau moody aje?
Ok, sekarang keluarkan kerja sekolah yang saya telah berikan semalam.

Terdapat juga bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Cina. 
Contohnya:

Nak makan sini atau mahu tapau ( bungkus)?
Apasal awak buat kerja cincai ( tidak sempurna) seperti ini maa?

Secara sedar atau tidak kita sering menggunakan atau mendengar bahasa ini dalam kehidupan seharian kita.
Perlu kita ingat sekiranya bahasa roja ini terus berleluasa penggunaanya akan menyebabkan bahasa Melayu asli pupus.  Hal ini demikian kerana percampuran kod ini akan menjadikan golongan akan datang tidak dapat atau mengenali bahasa Melayu yang asli.  Oleh itu, marilah kita sama-sama memartabatkan bahasa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tidak mencampurkannya dengan bahasa yang lain.  Selain itu, kita juga mungkin akan dipandang serong oleh orang lain kerana tidak mengagungkan bahasa ibunda kita sendiri.


# Hakikat Bahasa

Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan.  Perkara ini telah termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.  Oleh itu, segala urusan rasmi perlulah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.

Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebgai lingua franca.  Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eoropah.  Pada zaman tersebut telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang utama. Oleh itu, kita seharusnya berbangga dengan bahasa ibunda kita ini dan seterusnya memartabatkannya.

Tapi sejak akhir-akhir ini bahasa Melayu menjadi semakin diketepikan.  Hal ini demikian kerana kebanyakan anak muda sekarang banyak menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian mereka.  Perkara ini sedikit sebanyak akan menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir.
Lebih menyedihkan bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa kedua negara.  Perkara ini dapat kita lihat pada hari ini remaja-remaja terutamanya di bandar-bandar besar kurang menggunakan bahasa Melayu kerana  mereka lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. 
Terdapat juga rakyat Malaysia yang memang tidak fasih menggunakan bahasa Melayu.  Perkara ini terbukti apabila salah seorang rakan sekelas yang berkongsi pengalamannya berjumpa dengan seorang warga emas berbangsa Cina yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

Bagaimana kita ingin mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu?

a) Kita perlu menyanyangi dan menyanjung bahasa Melayu.
b) Menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan. (seperti yang dilakukan oleh orang Jepun yang menggunakan bahasa ibunda mereka)
c) Meneruskan tradisi minggu Bahasa pada peringkat sekolah, universiti dan kebangsaan.

Tuesday, April 16, 2013


# Mutiara Kata
Mutiara kata… apakah yang dimaksudkan dengan mutiara kata?
Pada pendapat saya mutiara kata merupakan kata-kata yang dicipta bagi menjadikan seseorang itu lebih bersemangat jika menghadapi sesuatu masalah dan juga memberi inspirasi kepada kita untuk terus berusaha.

Mengapa kita memerlukan kata-kata azimat ini?

Mutiara kata dapat menjadikan kita lebih mengenali diri sendiri serta mewujudkan nilai positif dalam diri kita.  Selain itu, kata-kata yang dibentuk berunsur nasihat dan kadangkala kata-kata yang digunakan turut menyelitkan unsur-unsur Islamik yang dapat mendekatkan diri kita kepada yang Esa.  Contohnya:

“Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan. Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.”

“Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”

Secara keseluruhannya, kita memerlukan pendorong untuk membimbing kita dalam kehidupan yang semakin mencabar.  Siapa yang dapat mendorong kita?   Kita memerlukan rakan atau seseorang yang kita boleh percayai untuk berkongsi sesuatu atau mendapatkan pendapat, kadangkala kita hanya memerlukan kata-kata yang boleh membentuk dan menenangkan kita.  Oleh itu, mutiara kata merupakan satu wadah dan pemudah cara kepada kita untuk terus bersemangat.
                         

# Jom Belajar Dialek Negeri Sembilan.

Malaysia mempunyai pelbagai jenis dialek.  Setiap negeri mempunyai bahasanya yang tersendiri dan kadangkala bahasa yang digunakan hanya difahami oleh golongan mereka sendiri.

Saya berasal dari Negeri Sembilan dan mempunyai dialek yang tersendiri.  Secara peribadi saya dan keluarga tidak menggunakan dialek ini di rumah.  Kami berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang biasa dan boleh difahami.  Perkara ini menyebabkan kadangkala kami sekeluarga kurang memahami perkataan yang disebut oleh datuk dan nenek.

Pernah suatu saya dan keluarga pergi beraya ke rumah nenek saudara saya.  Bahasa Negeri Sembilan yang dia gunakan amat pekat dan lenggok percakapannya yang bersahaja dan laju dan kedengaran seperti kasar.

“Bangang cantik baju ko daro” kata nenek saudara kepada adik perempuanku.
Maksudnya
Cantik baju yang engkau pakai. (lebih kurang macam itulah maksudnya)

Bagi orang luar dari Negeri Sembilan akan merasakan bahasa yang digunakan agak kasar, tetapi sebenarnya perkara ini menunjukkan pertalian yang rapat antara keluarga.  Kadangkala mereka bercakap dengan kuat seolah-olah orang yang mereka ingin cakap berada pada jarak yang jauh.

Sebenarnya bukan semua orang Negeri Sembilan yang bercakap seperti ini, hanya sebahagian sahaja.  Perkongsian ini berdasarkan pengalaman saya bersama keluarga.
Baiklah mari kita belajar sedikit bahasa Negeri Sembilan.



Monday, April 15, 2013


# Mari Berpantun
Pantun merupakan salah satu puisi Melayu.  Pantun mempunyai beberapa baris.  Antaranya ialah dua baris, empat baris dan lapan baris.
Orang Melayu mempunyai pelbagai jenis pantun yang dianggap salah satu alat berkomunikasi dan perantaraan yang sesuai bagi menggantikan percakapan biasa.  Pantun sering digunakan dalam upacara-upacara seperti pembukaan dan penutup sesuatu majlis serta dalam majlis merisik.  Contohnya:

Pergi memikat burung serindit
  Singgah di Lenga membeli lokan
Membawa hajat setinggi langit
Merisik bunga mekar di taman

Tikar jerami hampar di laman
Mengulas dulang berisi emping
Bunga kami mekar di taman
Menanti orang datang menyunting

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

Pantun-pantun ini sering digunakan bagi memeriahkan lagi sesuatu majlis agar tidak suram.  Perkara ini disebabkan pantun digunakan bagi menarik hati para penonton atau pendengar agar terus setia.  Selain itu, pantun juga dapat dijadikan petanda bermula atau berakhirnya sesuatu majlis.
Oleh itu, pantun haruslah dikekalkan dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat agar pantun-pantun ini tidak hilang ditelan zaman dan menjadi warisan turun-temurun dalam masyarakat.

Sunday, April 14, 2013


# Setia tidak bermakna benci.

Haha…beberapa minggu lepas pensyarah Sosiolinguistik saya ada bertanyakan pendapat kami mengenai pernyataan ini.  Kami diberi masa beberapa minit untuk berbincang dengan rakan lain.
Pada mulanya saya agak keliru dan kurang faham dengan pernyataan ini, puas saya dan rakan memikirnya tetapi, selepas perbincangan dilakukan dengan rakan sekelas bersama pensyarah saya telah faham maksudnya.

Setia tidak bermakna benci.

Maksud pernyataan ini ialah jika kita sukakan kepada sesuatu tidak bermakna kita benci kepada yang lain.  Sebagai contoh, saya ambil bahasa.  Kita suka dan sayang dengan bahasa kita iaitu bahasa Melayu tetapi, tidak bermakna kita benci kepada bahasa-bahasa lain yang ada di dunia.  Kita juga digalakkan mempelajari bahasa-bahasa lain agar dapat memahami budaya-budaya mereka dan dapat mengetahui perkembangan negara mereka.

Oleh itu, janganlah kita membenci sesuatu itu kerana perkara yang kita benci akan mendatangkan kebaikan kepada kita juga akhirnya dan dapat meningkatkan mutu negara kita.

Friday, April 12, 2013


# Beza antara Pengajar dan Pendidik

Beberapa hari lepas saya ada membaca buku “ Beduk Diketuk” karya Pahrol Mohd Juoi.  Salah satu tajuk atau topik yang dibincangkan ialah “ Ramai Pengajar, Sedikit Pendidik”.  Topik ini pada saya perlu diberi perhatian ramai terutamanya kepada guru-guru serta bakal-bakal guru.  Hal ini demikian kerana pada hari ini ramai daripada kita hanya mengajar dan bukannya mendidik.
                                     



Berdasarkan buku yang saya baca ini penulis telah memberikan perbezaan antara mengajar dan mendidik.  Menurut beliau, mengajar merupakan perkara yang berkaitan dengan memberitahu, memahamkan dan menyampaikan manakala mendidik merupakan perkara yang berkaitan dengan mengajak, mendorong, membimbing dan memantau.

Sebagai contoh, mengajar seseorang sembahyang.  Mengajar sembahyang ialah dengan menyampaikan ilmunya seperti sah, batal, rukun dan syarat dan hasilnya pelajar hanya tahu sembahyang.  Berlainan pula dengan mendidik sembahnyang.  Hal ini demikian kerana mendidik sembahyang lebih kepada mengajak.  Kita menjaid sebagai role-model kepada pelajar dalam mendidik.  Jika mereka salah kita betulkan dan jika mereka malas kita nasihatkan.  Oleh itu, pelajar akan mahu bersembahyang.

Oleh itu, kita sebagai orang yang dewasa dan juga bakal guru pelulah menjadi seorang pendidik yang mengajar bukannya menjadi pengajar sahaja.  Dengan mendidik akan menjadikan seseorang itu lebih memahami dan mengaplikasikan perkara  yang mereka pelajari dalam kehidupan seharian mereka.

# Adat Perpatih
Baiklah hari ini saya akan menceritakan serba sedikit tentang adat yang ada di Negeri Sembilan.  Walau pun saya berasal dari Negeri Sembilan tetapi keluarga saya tidak mengamalkan adat ini.

Adat perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau.  Adat ini telah dibawa masuk oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17.  
Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera.
Adat ini dikatakan lebih mengutamakan golongan wanita.  Ada yang tertanya-tanya sebab mengutamakan golongan wanita? Antara sebabnya ialah pada zaman dahulu golongan ini sering kali ditinggalkan oleh lelaki yang keluar mengembara ke hutan.  Oleh itu, harta akan ditinggalkan kepada keluarganya sebagai nafkah.

Undang-undang yang diamalkan dalam adat ini bersifat pemulihan.  Undang-undang juga tidak disimpan atau dimaktubkan dalam bentuk rekod bertulis tetapi bebentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya.  Dari segi sifatnya, undang-undang jenayah yang telah dilakukan oleh seseorang akan dikenakan dikenakan denda mengikut kesalahannya.  Sebagai contoh, jika seseorang telah mencuri buah mangga jirannya, dia perlu menggantikan dengan jumlah buah yang sama.

Selain itu, pemilihan pemimpin dalam pentadbiran dilakukan secara demokrasi.  Hal ini demikian kerana pemimpin akan dilantik daripada bawah dan mengikut kata majoriti. Dalam pentadbiran di negeri Sembilan terdapat Buapak, Lembaga, Undang dan Yang Dipertuan Besar. Pemilihan Buapak dilakukan oleh orang ramai, Lembaga akan dipilih oleh Buapak, Undang dilantik oleh Lembaga dan Yang Dipertuan Besar akan dilantik oleh Undang. 
Pada pendapat saya adat perpatih ini merupakan adat yang mementingkan atau mengutamakan masyarakat.  Hal ini demikian kerana adat ini dilihat mempunyai pendekatan yang dekat dengan masyarakat.  Sebagai contoh, mengutamakan golongan wanita yang pada saya golongan yang lemah.

Thursday, April 11, 2013


# Bidalan

Bidalan…Apa itu bidalan?  Pada pendapat saya mesti ramai diantara kita yang tidak mengetahui apakah itu bidalan dan atau mereka telah lupa maksud bidalan itu sendiri.  Kepada mereka yang tidak tahu atau sudah lupa mari saya ingatkan semula.
Bidalan merupakan perkataan-perkataan yang mempunyai pengertian tertentu dan di sebalik itu terdapat kata-kata yang berkaitan dengan sikap dan tingkah laku manusia.  Biadalan biasanya mengandungi kata-kata nasihat yang dapat dijadikan pengajaran dan mengandungi unsur perbandingan dengan benda lain.  bidalan juga digunakan sebagai bahan sindiran yang bertujuan untuk memberi peringatan.
Setiap bidalan yang digunakan oleh orang dahulu menjadi platform kepada mereka untuk meluahkan perasaan mereka secara berlapik dan tidak secara terus menerus.  Contohnya:


A) Biar buruk kain dipakai , asal pandai menjaga hati
Maksudnya:
Biar hodoh atau miskin seseorang itu, asalkan mempunyai hati budi yang baik.

B) Berkata siang pandang-pandang, berkata malam dengar-dengar.
Maksudnya:
 Berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata.


Berdasarkan contoh ini, kita dapat lihat bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi kerana setaiap perkataan yang dikeluarkan mempunayai nilai dan menjadi  lambang kepada kita masyarakat terutamanya Melayu.
Oleh itu, bidalan seharusnya dijadikan suatu bentuk pengajaran agar tidak hilang ditelan zaman bak kata pepatah “ tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.  Ayuh marilah kita bersama-sama menggunakan bidalan ini agar terus kekal sehingga akhir zaman. 

Tuesday, March 19, 2013


#  Fungsi Bahasa dalam Masyarakat

Pada hari ini tiada topik yang dapat saya catatkan berdasarkan pemerhatian saya.  Namun begitu, saya ingin memberikan beberapa pendapat tentang fungsi bahasa dalam masyarakat kita pada hari ini. 

Manusia berkomunikasi menggunakan bahasa.  Bahasa merupakan medium atau kemudahan yang dapat digunakan oleh kita semua untuk menyampaikan idea supaya orang yang menerima dapat memahami perkara yang ingin kita sampaikan.

Bahasa juga bertindak sebagai satu cara meluahkan atau mengungkapkan perasaan seperti penggunaan bahasa sastera dalam penulisan sajak, syair, drama dan sebagainya.  Oleh itu, kita sebagai pelajar perlu memanfaatkan penggunaan bahasa ini dengan betul. 
Seterusnya, menjadikan penggunaan bahasa ini wadah untuk menyampaikan sesuatu perasaan yang tersirat atua tersurat.

Bahasa  turut bertindak sebagai cara untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran.  Hal ini demikian kerana saya sebagai bakal guru akan menggunakan bahasa untuk menyampaikan pengajaran kepada anak-anak murida saya in syaa Allah.  Pada saya penggunaan bahasa yang mudah dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Selain itu, bahasa turut menjadi tempat untuk mengeratkan tali ukhuwah antara seseorang.  Penggunaan bahasa yang baik dan sopan dapat menjadikan seseorang itu jadi dihormati oleh masyarakat.  hal ini demikian kerana  bahasa yang baik akan memupuk jati diri yang baik.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang merupakan lingua franca sejak berabad yang lalu. Janganlah merosakkan nilai yang ada dalam bahasa kita ini.  Jangan disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

Sunday, March 17, 2013


# BAHASA SLANGA.
a)Apakah yang dimaksudkan sebagai bahasa slanga?
b)Siapakah yang menggunakan bahasa slanga?
c) Bagaimana bahasa ini boleh berkembang?
d) Adakah bahasa slanga boleh merosakkan nilai bahasa Melayu?


************************************************************************

Menurut kamus Dewan slanga bermaksud kata-kata atau ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi.  Menurut “The Oxford Companion to the English Language” istilah slanga berasal daripada abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain,” iaitu ketidaktentuan sebenarnya.  Secara etimologi kata slanga berasal daripada kata “sling,”iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan.  Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali diubah dan secara umum bebrbeza dengan kosa kata lain.

Bahasa slanga ini banya digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka.  Bahasa yang mereka gunakan ini hanya boleh difahami oleh mereka sahaja.

Sebenarnya, bahasa slanga telah wujud sejak zaman dahulu lagi, tetapi sejak akhir-akhir ini bahasa slanga ini dilihat semakin popular dan kadangkala bahasa yang digunakan tidak dapat difahami.  Sebagai contoh, perkataan “sapew” bagi perkataan “siapa” dan perkataan  “maner” bagi perkataan “mana”.

Bahasa ini semakin berkembang disebabkan banyaknya penggunaan di dalam media massa, majalah-majalah hiburan dan komik-komik yang gemar dibaca oleh remaja.  Selain itu, mereka juga menggunakan bahasa slanga dalam pesanan ringkas (SMS) yang mereka gunakan sehari-harian.

Sekiranya bahasa slanga ini tidak diatasi berkemungkinan bahasa Melayu akan hilang nilai keaslian dan estetikanya.  Oleh itu, bahasa ini perlulah dibendung untuk memartabatkan bahasa Melayu di arena dunia.

Saturday, March 16, 2013


# Salasilah Jawa

Malaysia mempunyai pelbagai kaum yang berbilang bangsa dan budaya.  Sebagai contoh di Sabah ada suku Bajau, Dusun, Murutdan sebagainya.  Di semenanjung juga terdapat pelbagai kaum seperi Melayu, India, Cina dan tidak ketinggalan juga Jawa.  Jawa juga merupakan penduduk yang teramai di Malaysia.
Beberapa hari lepas saya ada mempelajari tentang salasilah dan beberapa bahasa Jawa.  Salasilah orang Jawa di Malaysia dan Indonesia adalah bebbeza.  Di Malaysia orang Jawa terbahagi kepada dua iaitu Lurah dan Kiai.  Lurah merupakan ketua kampung dan dibantu oleh beberapa orang untuk menguruskan pentadbiran, manakala Kiai merupakan orang yang kuat agama dan sering mengajar agama.  Orang-orang kampung akan memanggil lurah sebagai Pak Lurah.

Bahagian yang saya paling suka untuk belajar ialah bahasa.  Seperti yang kita ketahui bahasa Jawa dengan bahasa Melayu berbeza.  Contohnya:

Bahasa Jawa: Kue wes mangan?
Bahasa Melayu: Awak sudah makan?

Bahasa Jawa: Ku wes mangan.
Bahasa Melayu: Saya sudah makan.

Kepelbagaian bahasa ini membuatkan Malaysia sebuah negara yang  unik dan kita sebagai rakyat Malaysia mestilah berbangga dengan kepelbagaian yang negara kita perolehi. Selain itu, kita dapat lihat dalam masyarakat terdapat pelbagai bahasa yang mereka gunakan untuk berkomunikasi sehingga dapat membentuk suasana yang harmoni.






# Perpustakaan
Pagi tadi saya berkesempatan untuk pergi ke perpustakaan.  Saya pergi bersama sahabat saya Norul Ain untuk menyiapkan kerja Sintaksis.  Bak kata kawan saya masa dah ada dekat kampus inilah baru senang nak ke perpustakaan, kalau dari kolej macam malas sahaja nak turun. 

Selepas sampai di perpustakaan saya macam biasa akan pergi ke tingkat tiga bahagian Bahasa.  Saya dan kawan memilih kawan yang tersorok sikit bagi memudahkan kami berbincang.  Tapi sebenarnya tidaklah tersorok sangat kerana masih ada beberapa pelajar yang berada di kawasan tersebut.
Kami memulakan sesi perbincangan.  Pada mulanya suara kami tidaklah begitu kuat tetapi selepas beberapa minit kami berbincang tiba-tiba datang seorang pelajar yang menegur kami.

Pelajar: “Tolong Senyap Sikit.”
Saya dan rakan: “ Maafkan kami.”

Terkejut kami kerana kami ingatkan suara kami tidaklah sekuat mana sehingga boleh ditegur.  Nada suara yang digunakan oleh pelajar tersebut membuatkan kami berfikir bahawa pelajar ini baiklah kerana menegur kita dengan baik walau pun kita te;ah membuat salah.

Rakan: “Baiklah kakak ini, dia tegur kita dengan baik tak de la nak marah-marah.”
Saya: “Selamat kita.  Nasib baik tak kena marah.”

Pengajaran yang saya dapat ialah bila di tempat awam seperti di perpustakaan kita hendaklah menjaga tatatertib seperti tidak berbual dengan nada yang kuat sehingga boleh mengganggu orang lain.  Selain itu, tertib dalam menegur juga dapat saya pelajari terutamanya kita sebagai orang timur yang penuh dengan adab dan sopan.



# Hari Keluarga 2
Diari kali ini adalah sambungan cerita bagi Hari Keluarga 1.  Seperti yang saya telah ceritakan semalam bahawa hari keluarga yang telah dianjurkan adalah selama dua hari.  Oleh itu, diari kali ini saya akan menceritakan tentang peristiwa yang berlaku sepanjang hari keluarga ini berlangsung.

Kami diminta berkumpul di padang bola jaring pada pukul 8.00 pagi.  Acara dimulakan dengan senamrobik yang diketuai oleh saudara Azhar.  Selepas itu, kami diminta berkumpul di dalam kumpulan.  Acara pada hari kedua ini lebih kepada kemahiran mental dan fizikal peserta, iaitu  explorace dan sukaneka.

Acara-acara yang dijalankan ini memerlukan kami berkomunikasi dengan baik.  Hal ini demikian kerana setiap “checkpoint” atau tempat perhentian memerlukan kami mengerahkan idea dan memberi pendapat bagi menyelesaikan tugasan.  Contohnya kami mendapat tugasan untuk menyelesaikan teka silang kata kami sentiasa membuat tekaan bagi mendapat jawapan yang betul.
                                       “Jawapan ni mesti sungai kot”.
                             “ Macam pantai pun ada”.

Melalui komunikasi tersebut kami dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan seterusnya mengeratkan silaturrahim antara ahli pasukan.   Selain itu, melalui aktiviti ini juga saya dapat menanamkan dalam diri sifat sabar kerana kadangkala berlaku salah faham antara ahli pasukan. Hal ini demikian kerana setiap daripada kita mempunyai pemikiran yang berbeza.




Gambar-gambar sekitar Explorace..

Selepas melalui sembilan perhentian dan acara sukaneka, acara penutup diadakan.  Seperti biasa kumpulan saya tidak mempunyai rezeki untuk menang.  Apa-apa pun pengalaman yang ditimba tidak akan saya lupakan.  Tahniah kepada pemenang.  Harap-harap tahun depan kumpulan saya menang pula









# Hari Keluarga 1
Pada hari Sabtu minggu lepas Kolej Kediaman saya, iaitu Za’ba telah menganjurkan Hari Keluarga yang bertemakan “Sehari Bersama Sedekad Terasa”.  Hari keluarga ini bermula pada malam Sabtu dan berakhir pada hari Ahad.
Berdasarkan tema hari keluarga ini dapat saya simpulkan bahawa pihak pentadbiran meninginkan setiap ahli atau warga kolej ini saling mengenali antara satu sama lain.  Pada malam Sabtu semua peserta diminta berkumpul di padang bola jaring. Acara dimulakan dengan senamrobik dan dikendalikan oleh saudara Azhar yang merupakan timbalan yang dipertua JMK Za’ba.  Acara ini telah menarik perhatian warga KZ untuk turun beramai-ramai bagi menyertai senamrobik ini. 




                                   
Selepas itu, acara diteruskan dengan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK).  Kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan sepanjang LDK ini berlangsung.  Perkara pertama yang kami lakukan ialah perlu berkenalan antara ahli kumpulan dan mencipta nama kumpulan dan “cheers” atau kata-kata semangat kumpulan serta melantik ketua kumpulan.  Suasana menjadi sedkit agak kecoh semasa sesi persembahan “cheers”.  Kata-kata semangat sering kali diberikan oleh fasilitator pada malam itu untuk menaikkan kayakinan setiap kumpulan.

G double O,D,J,O,B
Good Job..
Good Job
Good Job

Itu antara kata-kata semangat yang diberikan oleh fasilitator.  Seterusnya aktiviti LDK terus dijalankan. 
Sebagai satu kumpulan saya dan rakan-rakan sering bekerjasama dalam melaksanakan cabaran yang diberikan oleh fasilitator.  Pada saya acara seperti ini dapat meningkatkan motivasi seseorang dan seterusnya membentuk peribadi kita.  Acara bersambung pada keesokan harinya.





                                              

                                  
Gambar-gambar sekitar malam LDK..



# Shooting

Pada hari ini saya berkesempatan untuk mengikut rakan saya Nadzirah untuk melakukan penggambaran bagi memenuhi keperluan kerja kumpulan subjek Sosiolinguistik.  Sebelum memulakan penggambaran mereka saling bertukar pendapat untuk mendapatkan situasi yang betul-betul ingin mereka rakamkan.  Sepanjang berada di sana saya dapat melihat gelagat mereka yang saling menyokong dan memberi idea yang dapat memantapkan kerja mereka.

Satu situasi yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa kawan saya meminta bantuan daripada seorang peniaga untuk merakamkan situasi semasa mereka membeli.  Peniaga tersebut dengan baik hati telah bekerjasama dengan mereka untuk merakamkan aksinya melayan pelanggan.  Peniaga tersebut kadangala kelihatan malu semasa mereka mahu merakamkan aksinya semasa melakukan aktiviti berjual beli.

Kerjasama yang baik daripada peniaga tersebut telah memudahkan proses rakaman walaupun mereka terpaksa merakamkan berulang kali bagi mendapatkan rakaman yang baik.  Terima kasih diucapkan kepada peniaga tersebut kerana membenarkan aksinya dirakam.  Selepas ini bolehlah saya pula meminta pertolongan daripada peniaga tersebut.
Selain itu, gelagat rakan-rakan saya yang lain dalam berlakon tidak dapat disangkal lagi.  Mereka memberi sepenuh komitmen untuk berlakon.  Sememangnya semangat ini pelru diterapkan dalam diri setiap pelajar bagi menyelesaikan segala kerja yang telah diberikan.  

Peringatan juga untuk diri sendiri yang selalu liat untuk melaksanakan tugas yang diberikan.
Pada pendapat saya, bagi mendapatkan sesuatu yang terbaik kita perlulah melakukannya dengan hati yang ikhlas dan jadikannya sebagai perkara yang kita suka untuk lakukan.